A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

Tentang Kami

Kerja Dari Rumah Rangsang Kreativiti Wanita

Utusan Online

PENULIS, Jeff Davidson dalam bukunya bertajuk Marketing for the Homebased Business menjelaskan perkembangan perniagaan dari rumah yang semakin popular hari ini dilihat sebagai pembentukan semula nilai-nilai keluarga.

Pasangan ibu bapa mewujudkan pejabat di rumah bertujuan membantu mereka mengimbangi urusan kerja dan penjagaan anak-anak.

Justeru, ramai yang menjadi perintis dengan mencipta peraturan-peraturan baru bagi memastikan kehidupan seharian serta pekerjaan berjalan seiring.

Perkara ini diakui oleh Penyelaras Alam Sekitar di Corpcom Services Sdn. Bhd., Shanthini Jayaratnam, 30, yang menyifatkan pilihan bekerja dari rumah mewujudkan peluang kepada seseorang memenuhi keinginan untuk memiliki kehidupan berkeluarga yang lebih seimbang.

"Bagaimanapun, kejayaannya bergantung kepada tahap disiplin seseorang, kerana jika tidak membuat garis pemisah di antara pekerjaan dan kehidupan, mungkin kita berhadapan dengan masalah mengatur kerja harian,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ibu kepada dua anak yang masing-masing berusia enam dan tiga tahun memulakan kerja dari rumah sejak enam bulan lalu.

Menetap di Shah Alam dan beribu pejabat di Taman Tun Dr Ismail, Shanthini hanya perlu ke pejabat sebulan sekali bagi menghadiri mesyuarat dengan kakitangan syarikat.

Seminggu sekali, setiap kakitangan perlu menghantar laporan berkaitan dengan bidang tugas masing-masing.

"Ledakan dalam teknologi maklumat seperti kemudahan memiliki komputer peribadi menjadi faktor utama wujudnya pekerjaan dari rumah.

"Ini ditambah dengan peralatan pejabat lain yang semakin mampu dibeli, menjadikan situasi semakin selesa diuruskan dan merangsang kreativiti,'' jelasnya

Beliau juga aktif dengan Mothers-for-Mothers dan E-Homemakers, iaitu rangkaian pertubuhan untuk suri rumah dan ibu pelbagai bangsa yang membuat pengorbanan dengan memilih bekerja dari rumah demi anak-anak dan suami.

Golongan ini memperoleh pendapatan dengan melakukan kerja-kerja pentadbiran, perakaunan dan sebagainya dari rumah.

"Contohnya baru-baru ini, Mothers-for-Mothers bersama Nestle menganjurkan satu pertandingan yang mengiktiraf ibu membantu menghijaukan bumi dan alam semula jadi.

"Bidang tugas saya termasuk mencari peserta, mengatur majlis, mencari hakim dan pemenang dan menganjurkan pertandingan berkaitan. Segala-galanya dihubungkan melalui laman web atau emel dan ia cara terkini yang amat praktikal,''jelasnya.

Bekerja sepenuh masa dari rumah membuka peluang kepada ibu muda ini menjalin hubungan yang lebih erat dengan keluarga terutama anak-anak.

"Selepas anak-anak ke sekolah, saya memulakan kerja seawal sembilan pagi. Selepas tiga jam, saya menyediakan makan tengahari dan mengambil anak dari sekolah. Selepas berehat dan melihat kerja sekolah anak sulung, kerja disambung semula.

"Sebelah petang, saya bawa mereka ke taman permainan dan selepas makan malam, jika masih ada kerja yang boleh disambung, saya akan terus bekerja,'' katanya.

Memiliki diploma dalam bidang pengaturcara komputer, Shanthini, yang sebelum ini pernah bekerja di pejabat selama lima tahun dalam bidang pengiklanan dan pemasaran, kini merasa lebih selesa dengan tugas barunya.

"Bekerja dari rumah bukan sahaja menjimatkan banyak kos ia juga merapatkan hubungan kekeluargaan, menikmati kepuasan bekerja dan menambah sumber pendapatan keluarga,'' ujarnya.

Sementara itu, Davidson dalam bukunya juga menjelaskan keadaan ekonomi yang tidak selamat antara faktor yang mendorong kepada pertumbuhan pekerjaan dan perniagaan dari rumah.

Biarpun ada kebenarannya, namun tidak semua wanita menjadikan faktor kewangan sebagai penggerak untuk mereka memulakan aktiviti yang menghasilkan pendapatan dari rumah.

Pengasas Mothers-for Mothers, Chong Sheau Cheng, 43, berkata, ramai wanita golongan profesional berhenti kerja kerana merasakan sudah tiba masanya mereka memberi lebih tumpuan kepada keluarga.

"Mereka mahu lebih akrab dengan anak, tetapi dalam masa yang sama tidak mahu ilmu, pengalaman dan kemahiran yang ada hilang atau dipersia-siakan begitu saja. Untungnya, kini mereka mempunyai pilihan untuk menentukan corak kerja masing-masing,'' katanya.

Berdasarkan pengalaman di Mothers-for-Mothers beliau berkata, terdapat wanita profesional dengan gaji RM15,000 sebulan, rela melepaskan jawatan dan berkerja di rumah, semata-mata mahu mengimbangi antara anak-anak dan karier.

Keadaan ini katanya, secara tidak langsung meningkatkan imej suri rumah, di mana mereka kini terdiri daripada golongan terpelajar dan berilmu yang tidak harus lagi dipandang rendah.

Beliau sendiri merupakan pemegang dua ijazah dalam bidang sains pemakanan dan pentadbiran antarabangsa dari di Kanada dan Amerika Syarikat.

"Bukan untuk berbangga dengan kelulusan yang ada, tetapi kadang kala saya kecewa dengan tanggapan umum bahawa suri rumah tidak mampu menyumbang apa-apa,'' ujarnya.

Mempunyai seorang anak perempuan, Sheau Cheng pernah menyandang jawatan sebagai Perancang Dasar di sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi kawasan Mediteranean dan Asia Barat.

Beliau yang juga berpengalaman bekerja di Sri Lanka dan Mesir, membuat keputusan berhenti kerja dan kembali ke tanah air apabila usia semakin meningkat dan mahu menimang cahayamata sendiri.

Kini, anak tunggal perempuannya telah berusia lapan tahun dan beliau bangga kerana dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada anaknya.

Pada masa yang sama beliau meneruskan tugas sebagai perunding dalam bidang pembangunan wanita untuk PBB, di samping menjadi perunding komunikasi untuk beberapa agensi dan membuka lama web bagi kumpulan Mothers-for-Mothers.

Semua pekerjaan itu dilakukan di rumah dengan bantuan kemudahan Internet sebagai senjata utama.

"Walaupun hanya dihubungkan melalui Internet, Mothers-for-Mothers berjaya mengadakan 10 perjumpaan sejak ditubuhkan pada tahun 1998.

"Tidak ada kertas kerja oleh motivator yang bertauliah, sebaliknya kami sendiri yang akan bertukar pendapat, pengalaman, berkongsi masalah malah mendapatkan projek untuk menambah pendapatan menerusi kerja dari rumah,'' katanya.

Bagi Susan Ann Greenall, 33, melakukan tugas-tugas secara maya (virtual) dari rumah memerlukan komitmen dan tahap keyakinan yang tinggi.

Walaupun jadual kerja diatur sendiri, beliau mengakui, ia tidak semudah yang disangka.

"Ia bergantung kepada tahap disiplin dan kebijaksanaan kita mengatur perjalanan masa antara keluarga dan kerja agar tidak timbul sebarang masalah,'' ujarnya yang melakukan kerja-kerja perakaunan.

Katanya, menggunakan teknologi moden seperti kemudahan Internet dan emel, diskriminasi dalam pekerjaan di pejabat dapat dikurangkan.

Di samping itu, perhatian terhadap rumah tangga lebih teratur dan paling utama dapat melihat anak-anak membesar di hadapan mata.

Sumber Dari : Utusan Online



E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2010. Semua hak terpelihara.