Wanita ketuai korporat masih kecil
KUALA LUMPUR 24 Ogos - Penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan dan korporat di negara ini masih jauh ketinggalan dengan jumlah wanita yang memegang jawatan ahli lembaga pengarah di syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) hanya 14 peratus daripada 613 orang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, bagi 50 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia pula, hanya 11.7 peratus wanita terlibat dalam syarikat tersebut sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Presiden dan Naib Presiden.
``Antara faktor yang menyumbangkan kepada perkara berkenaan ialah kerana banyak syarikat korporat di negara ini yang mengamalkan sikap mementingkan lelaki dalam struktur organisasi mereka.
``Dalam perkara ini wanita perlu berani untuk memastikan sumbangan mereka mendapat pengiktirafan selain terus berusaha supaya lelaki serta wanita dapat bekerja bersama-sama di dalam satu syarikat,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Wanita 2004 di Hotel Mandarin, di sini, hari ini.
Pada sidang tahunan tersebut, empat wanita membentangkan kertas kerja iaitu CEO FJ Benjamin (M) Sdn. Bhd., Angie Chong; penyanyi Anita Sarawak; Pengarah Urusan Hal Ehwal Korporat Citigroup Asia Pacific, Penny Shone dan Naib Pengerusi Hour Glass Ltd, Datuk Dr. Jannie Tay.
Dalam pada itu, Shahrizat memberitahu, kerajaan bersetuju supaya analisis bajet gender dilaksanakan secara projek perintis di lima kementerian.
``Kementerian terbabit ialah kementeriannya, Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Kesihatan serta Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
``Analisis bajet gender ini bertujuan mengkaji implikasi bajet kerajaan ke atas wanita dan lelaki selain memenuhi keperluan yang berbeza mengikut gender,'' katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai konsep bekerja di rumah yang akan diperkenalkan oleh kementeriannya, beliau berkata pihaknya dengan bantuan kementerian yang lain akan menentukan peraturan untuk diguna pakai oleh mereka yang ingin melaksanakan konsep itu.
Bagaimanapun katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah meminta agar pekerjaan yang akan dijalankan di rumah itu tidak mencemarkan persekitaran serta menyulitkan jiran.
``Kita memerlukan masa selama empat bulan untuk melihat peraturan dan mengenal pasti bentuk pekerjaan yang boleh dijalankan dalam konsep bekerja di rumah itu,'' katanya.








