Oleh Alfred Hermida, BBC News Online (disunting oleh mom4mom.com)
November 2001
Katharine Yip merupakan seorang ibu berpelajaran, yang sibuk berasak-asak dengan kehendak dua orang anak perempuan yang masih kecil dan pekerjaannya sebagai penterjemah sepenuh masa.
Beliau yang menetap di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur, mendapati bahawa teknologi baru masa kini telah membuka peluang baru untuknya.
“Dalam masyarakat kita, kaum wanita mungkin menghadapi kesukaran untuk bergerak dengan bebas kerana tidak berkenderaan atau terpaksa berada di rumah untuk menjaga ahli keluarga yang terlantar sakit di katil,” Katharine memberitahu BBC News Online.
“Kita mungkin berada di rumah pada kebanyakan masa, tetapi sempadan fizikal tidak lagi wujud apabila kita berada dalam talian.” kata beliau. “Kerana inilah sekumpulan ibu berjaya menerbitkan sebuah buku dalam empat bahasa hanya melalui perhubungan dalam talian.”
Buku “Working@home”, diterbitkan tahun lepas sebagai buku panduan bagi ibu-ibu yang bekerja, memberikan nasihat tentang cara mengendalikan perniagaan dari rumah.
Dari kertas ke e-mel
“Semasa saya mula-mula bekerja dari rumah sedekad lalu, alat tulis saya ialah kertas, pen, cecair pembetulan dan pembaris panjang,” kata Katharine, yang memberikan perkhidmatan penterjemahan, penulisan iklan dan pentafsiran kepada pelanggan-pelanggan tempatan dan luar negara.
Kini, beliau menghabiskan kebanyakan masanya di hadapan komputer, menyempurnakan tugasan dan meluaskan rangkaian perhubungannya melalui internet.
“Dengan kemudahan e-mel, saya boleh menghantar tugasan yang siap kepada pelanggan dengan segera, pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada,” katanya.
“Ini merapatkan jurang antara pejabat di rumah dan pejabat biasa. Kualiti tugasan menjadi satu-satunya perkara yang penting.”
“Mothers for Mothers”
Pengalaman yang serupa dilalui oleh seorang lagi penulis buku tersebut, Chong Sheau Ching.
“Kini saya tidak boleh hidup tanpa teknologi. Ia memberikan kebebasan kepada wanita. Kita boleh berada di rumah untuk menjaga keluarga kita dan pada masa yang sama, otak kita masih berfungsi.”
Wartawan Malaysia dengan seorang anak perempuan berusia enam tahun ini telah menubuhkan rangkaian “Mothers for Mothers” agar kaum wanita sepertinya boleh berkongsi pengalaman dan nasihat dalam talian tentang cara mengimbangi kerjaya dan keluarga.
“Kini, wanita yang duduk di rumah tidak lagi dipanggil suri rumah dan dipandang rendah oleh masyarakat kerana dianggap sumbangan kita kepada masyarakat adalah sedikit,” katanya.
“Suri rumah seperti saya berada di rumah sambil membunuh virus Nimda, memaki virus Code Red II yang menyerang tapak web kita, merangkak di atas lantai untuk memasang wayar komputer dan berlagak sebagai ahli siber profesional, sementara anak-anak menyiapkan kerja rumah di belakang kita ataupun kari ayam sedang dimasak di atas dapur.”
Rintangan yang Mahal
Akan tetapi kos pembelian komputer dan sambungan ke internet yang tinggi di negara-negara seperti Malaysia bererti impian untuk bekerja dari rumah tidak tercapai oleh ramai wanita.
“Lagipun, harga perisian asli sangat mahal. Sistem pengendalian Windows dan pakej pejabat kecil yang saya beli tahun ini lebih mahal daripada komputer itu sendiri,” kata Sheau Ching.
“Selagi harga semua perisian dan perkakasan komputer tidak diturunkan, penggunaan teknologi maklumat untuk bekerja dari rumah akan kekal sebagai impian bagi ramai orang.”
Salah seorang yang mampu untuk melakukannya ialah Audrey Fong, seorang lagi penulis buku Working@home, yang bekerja dari rumah untuk sebuah portal hartanah internet. Beliau yang menetap di Malaysia bersama suami dan dua orang anak kecil, mendapati bahawa teknologi telah membebaskan masa yang amat berharga untuk dihabiskan di rumah bersama keluarga. Tetapi beliau memberikan amaran kepada ibu-ibu agar tidak cuba melakukan lebih daripada yang mereka mampu.
“Mitos ibu serba boleh sebenarnya memang hanya sebuah mitos,” katanya. “Gunakanlah teknologi untuk meringkaskan dan memperkemaskan kerja anda. Jangan sekali-kali mengelakkan diri daripadanya kerana berpendapat bahawa ia hanya untuk kaum lelaki dan generasi muda,” katanya.








