Masih ingat lagi buku yang telah dihebahkan semasa dua persidangan Mothers for Mothers yang lalu? Buku yang akan sedia dijual pada awal bulan November nanti juga boleh didapati melalui rangkaian Mothers for Mothers, atau anda boleh e-mel kami di home@mom4mom.com.
Projek masyarakat hasil ikhtiar Mothers for Mothers, buku ini yang bertajuk
"Working @ Home": a guidebook for working women and homemakers
[“Bekerja di Rumah”: buku panduan untuk wanita yang bekerja dan suri rumah]
dibiayai oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Kanada melalui Suruhanjaya Tinggi Kanada, Suruhanjaya Tinggi Australia, Nestle (Malaysia) Berhad dan Agensi Pekerjaan myHRpal.com Sdn Bhd.
Dikarang bersama oleh empat orang ibu, iaitu Audrey Fong, Chong Sheau Ching, June Chan dan Katharine Yip, buku ini merupakan lanjutan usaha kami menggalakkan amalan bekerja dari rumah sebagai suatu pilihan bagi wanita yang bekerja dan suri rumah.
Ini adalah ekoran daripada enam Persidangan “Bekerja dari Rumah” yang dijayakan di antara Jun 1998 dan November 1999. Persidangan tersebut telah disertai lebih 3,000 peserta, yang terdiri daripada wanita yang bekerja, suri rumah, wanita yang kurang bernasib baik dan wanita yang sedang mengendalikan perniagaan dari rumah / pejabat kecil di rumah.
Buku“Working @ Home”: a guidebook for working women and homemakers ini diterbitkan dalam empat bahasa, iaitu bahasa Inggeris, Cina, Melayu dan Tamil, dan mengandungi pemahaman, panduan berguna, nasihat dan kajian kes. Ia membincangkan tujuh perkara utama yang berkaitan secara langsung dengan wanita yang bekerja dan suri rumah, iaitu:
Membuat keputusan
Jati diri
Pengurusan kewangan
Memulakan perniagaan yang berpusat di rumah
Mengekalkan daya hidup perniagaan dari rumah
Kehidupan di rumah dan kehidupan pejabat di rumah
Rangkaian perniagaan
Buku ini mengandungi pengalaman peribadi para pengarang sebagai ibu dan ahli perniagaan wanita yang berpangkalan di rumah, maklum balas para peserta Persidangan “Bekerja dari Rumah” dan sumbangan peribadi yang dikongsi melalui tapak web ini.
Pelancaran Buku
Sehubungan dengan projek buku ini, kami sedang menganjurkan sebuah pelancaran buku yang dijadualkan pada awal November, 2000.
Matlamat Projek Buku
Melalui buku ini, kami berharap dapat menggalakkan idea bekerja dari rumah sebagai suatu pilihan untuk wanita, di samping peranan tradisional sebagai suri rumah sepenuh masa atau pekerja sepenuh masa. Kami berharap ini akan seterusnya meletakkan kuasa di tangan kaum ibu dan wanita sambil menerapkan budaya keluarga penuh kasih sayang.
Penerima manfaat projek buku
Lebih kurang 12,000 naskhah buku ini akan dihadiahkan kepada ibu / wanita serba kekurangan dalam masyarakat kita yang wajar menerimanya, melalui pertubuhan-pertubuhan wanita.
Pada masa kini, ramai wanita bergantung pada satu pendapatan kerana suami mereka telah diberhentikan kerja. Kekangan sosiobudaya masih menganggap kaum ibu sebagai penjaga utama anak-anak, walaupun mereka juga pencari nafkah.
Buku panduan ini akan menjadi alat yang membantu ibu-ibu menghasilkan idea dan inisiatif baru. Ia akan menanam benih kekuatan mental dan memberikan pedoman dalam perjalanan untuk berdikari. Bagi mereka yang kurang bernasib baik dan terlalu segan untuk meminta bantuan, buku ini akan memberikan mereka peluang untuk membantu diri sendiri. Buku ini secukup kecil untuk disimpan di tepi katil atau diselitkan di celah mana-mana untuk dirujuk semula apabila mereka memerlukan kepastian dan kekuatan untuk meneruskan hidup.
Apabila buku ini memberangsangkan si ibu untuk membantu diri sendiri, anak-anak dan ahli keluarga yang lain turut menikmati manfaat. Ibu-ibu akan lebih bersemangat dan lebih berupaya untuk berdikari.
Kesan yang paling penting adalah apabila ibu-ibu bertindak untuk mengubah keadaan diri mereka melalui perniagaan dari rumah dan akhirnya memperoleh pendapatan. Ini akan mengembalikan keyakinan bahawa mereka mengawal hidup masing-masing dan meningkatkan harga diri mereka. Harga diri yang lebih tinggi dan keyakinan diri yang kukuh akan membantu ibu-ibu mencapai tahap kemajuan diri yang lebih cemerlang.
Anak-anak dan saudara-mara terdekat akan menerima manfaat daripada pendapatan lebih lumayan yang diperolehi daripada perniagaan yang berpangkalan di rumah. Mereka juga akan menikmati manfaat daripada ibu yang mempunyai harga diri yang lebih tinggi.
Kumpulan Penerima Manfaat Yang Paling Rentan ialah:
Suri rumah yang terdera dan tidak dapat meninggalkan suami kerana mempercayai bahawa mereka tidak dapat menyara diri dan anak-anak mereka dengan sendiri.
Ibu tunggal yang berpendapatan rendah dan mempunyai lebih daripada tiga orang anak serta ibu bapa uzur di bawah jagaannya, lantas memerlukan pilihan sumber pendapatan kedua yang boleh diusahakan dari rumah.
Ibu cacat dan ibu tunggal yang berpenyakit kronik / akut.
Suri rumah yang kekurangan wang dengan suami yang mengamalkan poligami.
Wanita yang telah lama menjadi suri rumah dengan keyakinan dan nilai diri yang rendah.
Pertubuhan-pertubuhan wanita dan pihak yang membantu mereka yang kurang bernasib baik turut menerima manfaat kerana buku-buku ini akan menjadi alat untuk merapatkan jurang di antara sumber yang terhad dan keperluan pendapatan ibu-ibu. Contohnya, pertubuhan wanita yang memberikan khidmat kaunseling kepada ibu-ibu yang terdera akan dapat membuat susulan ke atas kes-kes yang mereka kendalikan dengan menghadiahkan buku ini. Kaunselor-kaunselor kini boleh memberikan buku ini kepada ibu-ibu berkenaan dan menggalakkan mereka meneruskan hidup masing-masing.
Nantikan yang terkini!
Untuk maklumat lanjut, sila e-mel kami di: home@mom4mom.com








