Chong Sheau Ching telah menerima banyak kiriman e-mel daripada ibu-ibu di seluruh dunia setelah menulis "A Job Only Mothers Can Do" [Tugas Yang Hanya Mampu Dipikul Oleh Seorang Ibu] dalam ruangan mingguannya, "Stories For My Mother" [Kisah Buat Ibuku] dalam The Star, salah sebuah akhbar harian bahasa Inggeris yang utama di Malaysia.
Dalam rencana ini khususnya, beliau telah menceritakan tentang keaiban masyarakat yang dialaminya selepas meninggalkan kerjaya antarabangsa untuk memulakan syarikat perundingan yang berpangkalan di rumah. Setelah membaca e-mel yang diterimanya dengan begitu banyak, Sheau Ching menyedari yang ramai ibu menyangka bahawa seorang ibu hanya mempunyai dua pilihan: duduk di rumah untuk menjaga anak-anak atau meneruskan kerjaya di luar rumah, dengan itu meninggalkan anak-anak di bawah jagaan pengasuh. Pilihan ketiga – bekerja dari rumah – jarang dipertimbangkan.
Pada ketika itu, setelah menjadi usahawan selama tiga tahun, Sheau Ching menikmati berbagai manfaat daripada usaha bekerja dari rumah. Ia merupakan pilihan kerjaya merangkap penjagaan keluarga yang menyerlahkan sikap profesional, naluri keibuan dan kekuatan mental pada dirinya. Beliau mulai sedar akan isu-isu berkaitan pilihan bekerja dari rumah, terutamanya setelah berhubung melalui e-mel dengan beberapa orang ibu bekerja yang meminta nasihatnya.
Selepas berbulan-bulan berhubung secara e-mel, Sheau Ching mendapati adalah mustahil untuk terus membalas e-mel disebabkan kekurangan masa.
Ilham
Tetapi beliau enggan berhenti. Suatu adegan daripada tayangan animasi “Pocahontas” mendorongnya untuk meneruskan usahanya. Pocahontas, puteri kaum asli Amerika, telah jatuh cinta dengan Kapten John Smith. Malangnya, orang Asli dan Inggeris hendak berperang akibat perselisihan faham dan prasangka. Dua kekasih ini pergi berjumpa dengan Grandmother Willow.
Grandmother Willow memberitahu mereka bahawa jika mereka mahu bersama, mereka perlu menghalang berlakunya peperangan. “Tapi bagaimana?” mereka bertanya. Grandmother Willow mencecahkan sulur pautnya ke dalam tasik, dengan itu memulakan riak yang tersebar kembang. “Bukankah nyata,” katanya, “seorang perlu memulakannya?”
Sheau Ching menyedari bahawa kegiatan sesama peribadi adalah perlu untuk menggalakkan konsep bekerja dari rumah agar dapat mengatasi prasangka terhadap suri rumah sepenuh masa di Malaysia.
Memulakan Riak
Satu lagi peristiwa telah menyebabkan Sheau Ching untuk memulakan riak. Sheau Ching tersangkut dalam kesesakan jalan raya sedang beliau menaiki bas di Kuala Lumpur. Selama dua jam, beliau memerhatikan para penumpang dari semua bangsa, saiz, dan taraf kedudukan turun naik bas dengan berbagai ragam dan perangai. Bas semakin penuh sambil ia menghampiri destinasinya. Pemandu bas dengan sabar menyelekoh, mengelak lori-lori yang memecut dengan laju, dan tetap tenang.
Apabila bas akhirnya sampai ke destinasinya, Sheau Ching menanya pemandu itu apakah yang akan dilakukannya sekarang. Dia mengangkat bahunya dan berkata, “Berehat sebentar kemudian pandu bas ini mengikut jalan yang sama sekali lagi! Masih ramai penumpang yang menunggu!”
Itulah apa yang akan dilakukannya, kata Sheau Ching dalam hati, untuk memulakan riak – menjadi pemandu usaha “bekerja dari rumah” bagi mengumpul penumpang yang berfikiran serupa. Mungkin banyak lagi bas akan mengikutinya, dan lama-kelamaan orang lain pula yang akan mengambil-alih!
Persidangan Mothers For Mothers [Ibu Untuk Ibu]
Cara yang paling cekap dan berkesan untuk mengongsi konsep bekerja dari rumah dengan orang lain, fikirnya, ialah melalui sebuah persidangan. Beliau mencatat tajuk-tajuk yang ingin beliau tahu dahulu, sebelum memulakan syarikat perundingannya sendiri yang berpangkalan di rumah.
Kemudian e-mel dikirimkan kepada mereka yang pernah menghubunginya sebagai undangan untuk menyertai rangkaian ibu-ibu yang menghargai idea mengimbangi keluarga dan kerjaya. Selepas memilih sepasukan penceramah dan penganjur, beliau mencari penaja, tetapi usahanya itu hanya dibalas dengan gelak ketawa, perasaan tidak percaya dan kecurigaan.
Sheau Ching mencekalkan usaha sehinggalah mendapat penaja dan logistik persidangan siap diatur dengan sempurna, dengan pertolongan sekumpulan kecil sukarelawan yang menaruh kepercayaan terhadap matlamatnya. Yuran persidangan ditetapkan pada harga yang serendah mungkin supaya semua orang mampu menghadiri.
Dengan itu, lahirlah acara-acara Mothers for Mothers. Bilangan anggota kumpulan suri rumah sepenuh masa di dalam pasukan penganjur bertambah dengan terlaksananya persidangan demi persidangan. Semakin ramai wanita tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan bagi menambah riak.
Tanpa wang, geran atau pinjaman bank, kumpulan ini telah mengumpul pembiayaan syarikat-syarikat, hadiah-hadiah yang dibayar menggunakan khidmat seperti penulisan, dan sumber peribadi para sukarelawan. Peserta-peserta persidangan dikenakan yuran minimum bagi pengalaman pembelajaran seumur hidup itu. Sumber-sumber kreatif juga telah dihimpunkan agar wanita-wanita yang kurang bernasib baik dapat diberikan tempat duduk percuma.
Sukarelawan – Suri rumah
Dua persidangan pertama telah diatur melalui perhubungan e-mel sahaja. Anggota-anggota kumpulan tidak tahu walau rupa rakan-rakan sepasukan mereka sehinggalah tiga hari sebelum persidangan! Salah seorang daripadanya ialah Lily Fong, seorang bekas pegawai bank yang kini menjadi suri rumah. Tugas-tugas sukarelanya termasuk menjawab pertanyaan dan mendaftar masuk peserta sambil memerhati dua orang anak kecilnya. Ummi Kalthom, seorang penganalisis sistem terlatih yang juga telah menjadi suri rumah, merupakan peserta berbayar pertama yang akhirnya menjadi Ketua Pendaftaran bagi beberapa persidangan. Loke Kit Lai, seorang pengatur acara yang menjadi pejuang kejantinaan, melatih sekumpulan suri rumah cara-cara mengatur persidangan. Jardev Singh, bakal seorang bapa, membantu mengendalikan sistem audio dan telah merakamkan persidangan itu.
Selepas persidangan kedua, sekumpulan suri rumah merangkap penganjur persidangan terbentuk. Sushila Devi, seorang suri rumah selama 23 tahun, telah diajak turut serta untuk menjawab panggilan telefon dan juga telah menjadi penceramah di sebuah persidangan. Lain-lain sukarelawan persidangan yang penting adalah Jenny Tan, Judy Tan dan Janet Thor bersama pasukan masing-masing. Sukarelawan seperti Hapidzah Abdul Rahim, Liew Kuan Mei dan ramai lagi telah membawa bersama ahli-ahli keluarga mereka untuk membungkus hadiah, untuk mengangkut bahan-bahan persidangan dan untuk menjadi pembantu! Suami-suami yang memberi sokongan mendukung bayi dan mengejar anak-anak kecil di belakang dewan persidangan supaya isteri-isteri mereka dapat bercakap, mendengar atau menolong.
Sebuah persidangan telah diadakan di Pulau Pinang pada Oktober 1998, anjuran tiga orang rakan akrab sebagai pengurus persidangan – Julie Ong, Tricia Ong dan Janessa. Tricia Ong kini mengetuai kumpulan Mothers for Mothers Pulau Pinang yang terbentuk pada tahun 2000. Ia mengadakan perjumpaan mesra secara bulanan dan mengeluarkan sebuah e-surat berita.
Menyebarkan Riak
Isu-isu seperti kepentingan harta kebendaan berbanding masa untuk kehidupan berkeluarga, keusahawanan berbanding bekerja untuk orang lain, dan mengawal hidup sendiri berbanding pematuhan menjadi tajuk-tajuk perbincangan yang hangat di kalangan anggota-anggota rangkaian.
Persidangan tersebut sungguh popular sehinggakan Mothers for Mothers mengikuti program “Bekerja dari Rumah” yang sama sebanyak enam kali dalam tiga tahun. Persidangan ketujuh bertajuk “Mendapatkan Rangkaian Sokongan”. Kebanyakan daripada para penceramahnya adalah wanita yang bekerja dari rumah dalam berbagai cara dan para usahawan yang berjaya. Sesi panel juga diadakan di samping ceramah-ceramah yang padat dengan maklumat.
Yang paling mengharukan adalah sesi panel bertajuk “Mengubah Hidupku”, di mana ibu tunggal dan usahawan rumah berkongsi kejayaan peribadi masing-masing – bagaimana mereka mengubah keadaan mereka yang malang melalui pekerjaan dari rumah untuk membesarkan anak-anak mereka atau menjayakan perniagaan yang berpangkalan di rumah.
Pada keseluruhannya, persidangan ini tidak sahaja melibatkan ibu bapa, malah telah juga menarik minat lelaki dan wanita bujang yang sedang merancang kehidupan berkeluarga. Ibu bapa yang telah dibuang kerja mendapati persidangan ini sungguh berguna sambil mereka mengumpul idea-idea kemandirian yang kreatif dan terasa cergas semula oleh kemungkinan berdikari dan daya kepintaran berusaha dengan sendiri. Ikhtiar ibu menolong ibu telah memberi tenaga kepada semua yang terlibat.
Buku Panduan Working @ Home [Bekerja dari Rumah]
Kerana terlampau banyak dihujani permintaan untuk maklumat tambahan di samping menghadapi rintangan ekonomi, Mothers for Mothers tidak dapat lagi mengadakan persidangan di seluruh Malaysia bagi ibu-ibu lain yang berminat. Oleh itu, Audrey Fong, Katharine Yip, June Chan dan Chong Sheau Ching, empat orang penceramah persidangan mengambil keputusan untuk menyusun sebuah buku panduan bagi menyebarluaskan maklumat tersebut.
Dan dengan itu, lahirlah “Working @ Home – A Guidebook for Working Women and Homemakers” [Bekerja dari Rumah - Sebuah Buku Panduan Untuk Wanita Bekerja Dan Suri Rumah]. Kandungan buku ini adalah praktikal, khusus untuk kaum ibu dan datangnya dari lubuk hati kaum ibu. Pengalaman tolak dan tarik peribadi para penulis sebagai ibu dan usahawan rumah serta maklum balas daripada peserta-peserta persidangan “Bekerja dari Rumah” kesemuanya telah menyediakan bahan penulisan yang kaya dengan maklumat bagi tujuh bab buku ini, yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil. Sebanyak 12,000 naskhah buku telah diedarkan ke NGO dan rangkaian bagi ibu-ibu yang kurang bernasib baik.
Wanita Menolong Wanita
Sepanjang tempoh 1999 – 2001, Mothers for Mothers juga berjaya menolong ibu-ibu tunggal dan wanita kurang bernasib baik yang lain untuk bekerja dari rumah masing-masing dengan kerjasama lain-lain NGO dan rangkaian. Beberapa kegiatan kutipan wang seperti jualan kemeja-T dan buku juga dianjurkan untuk membantu ibu-ibu yang memerlukan wang bagi membeli mesin jahit atau membaiki bumbung yang bocor. Derma dalam bentuk makanan daripada syarikat-syarikat pembuatan makanan juga membolehkan beberapa ibu yang terdesak agar dapat menempuhi masa-masa mencabar.
Perniagaan kecil milik wanita seperti PJ Point turut menolong pertumbuhan rangkaian dengan menawarkan perkhidmatan seperti khidmat menjawab telefon. Ramai wanita lain telah menghulurkan bantuan untuk meluaskan rangkaian tetapi Mothers for Mothers tidak berupaya memikul jumlah kerja yang terlibat dalam mengendalikan manusia tanpa kakitangan sepenuh masa.
Pada tahun 2001, Patricia Jayaratnam, seorang lagi ahli Mothers for Mothers, menubuhkan sebuah kumpulan menjahit gebar di Lembah Kelang. Kumpulan ini membuat gebar untuk mengumpul wang bagi ibu-ibu tunggal. Ramai suri rumah juga telah mengambil ikhtiar untuk menubuhkan kumpulan kejiranan, kumpulan bermatlamat khas dan kumpulan bekerja dari rumah yang berpangkalan di gereja. Lantas, riak bekerja dari rumah agar mendapat keuntungan ekonomi, demi kebajikan masyarakat atau untuk mengimbangi kehidupan di rumah dan kehidupan berkeluarga mula tersebar ke seluruh Malaysia.
Pada tahun 1999, tanpa mengetahui perbezaan di antara ‘dot com’ dan ‘dot org’, sekumpulan kecil sukarelawan membina dan menyenggarakan portal www.mom4mom.com, dengan bertukar-tukar perkhidmatan bersama hosnya, iaitu Technochannel. Tapak ini bermatlamat untuk menepati keperluan para ibu dan suri rumah melalui penyediaan pelantar untuk mencapai maklumat yang berkaitan dengan keperluan mereka dan untuk menjalin rangkaian perniagaan.
Dari tahun 1998 sehingga 1999, Margaret Lawrence menawarkan dirinya untuk menjadi juruweb sukarela. Pada tahun 2000, Lilian Dorai dan Julie Ong mengambil-alih dan kemudian Usha Vijayasegaran pula memikul tanggungjawab itu sepanjang tahun 2001. Ahli-ahli Mothers for Mothers menyumbang banyak daripada kandungan tapak web ini. Tanpa sebarang latihan IT atau web, kumpulan ini mempelajari cara menyenggarakan tapak ini melalui percubaan dan kesilapan.
Wanita Dan ICT
Bagaimanapun, kemudiannya menjadi nyata bahawa portal ini tidak dapat menangani banyak daripada kekhuatiran yang dilahirkan oleh pelayar dan peserta persidangan “Bekerja dari Rumah”.
Salah satu isu penting yang disuarakan adalah hakikat bahawa suri rumah di Malaysia diketepikan daripada era Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang sedang giat maju. Hanya bilangan kecil wanita mempunyai capaian ke sebuah komputer dan tahu cara-cara menggunakannya. Tambahan lagi, ia semakin nyata bahawa prasangka dan pemencilan masyarakat menghalang suri rumah daripada menyumbang secara positif terhadap masyarakat.
Rangkaian Mothers for Mothers juga mengiktiraf bahawa golongan yang kurang bernasib baik (seperti yang terdera, cacat, berpenyakit kronik, ibu tunggal / balu) berasa lebih mudah terjejas oleh jurang digital ini sambil mereka terkial-kial untuk mencukupkan belanja. Jika mereka dapat menjana pendapatan daripada rumah untuk menampung keluarga masing-masing melalui penggunaan Teknologi Maklumat, mereka akan terlibat secara aktif dalam K-ekonomi.
Portal ini sememangnya tidak berupaya untuk menangani isu-isu yang disebutkan di atas. Kekurangan sumber dan satu siri serangan virus menyebabkan perkembangan tapak web ini tergendala selama tempoh-tempoh panjang.
Projek E-Homemakers [E-Suri rumah]
Pada tahun 2000, kertas cadangan projek E-Homemakers – sebuah pelan terperinci yang akan menangani kekhuatiran suri rumah di Malaysia – telah dilakarkan. Projek ini diserahkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan pada November 2001, rangkaian Mothers for Mothers menjadi penerima Geran Aplikasi Demonstrator (DAG) daripada Kementerian ini. Portal E-Homemakers – myhome4work.net – projek siber Mothers for Mothers – kini dilahirkan. DC One Technologies menjadi rakan teknologi di bawah geran ini.








