A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

KESIHATAN / KESELAMATAN: Kesihatan Umum

Masalah Batuk Di Kalangan Kanak-Kanak

by Shafinaz Sheikh Maznan

IBU bapa yang mempunyai anak-anak berusia di bawah lima tahun khususnya perlu lebih peka pada kesihatan si manja mereka pada bulan ini. Kenapa? Kerana, September, selain Ogos dan Julai lalu merupakan waktu peningkatan jangkitan virus respiratori yang mudah merebak semasa musim hujan.

Ia mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai jenis jangkitan saluran pernafasan sama ada dari jenis batuk biasa kepada yang boleh mengancam nyawa. Justeru, adalah penting jika ibu bapa mempunyai pengetahuan asas yang cukup tentang jenis-jenis batuk serta bahayanya jika dibiarkan berterusan.

Pakar Dada Kanak-Kanak, Hospital Selayang, Dr. Norrashidah Abd. Wahab berkata, kanak-kanak batuk disebabkan oleh pelbagai keadaan. ``Demam selesema adalah punca utama batuk berlaku di kalangan kanak-kanak.

``Sebab-sebab lain ialah jangkitan pada bahagian pernafasan atas atau kerongkong, alahan, asma, batuk kokol, jangkitan sinus dan juga batuk kering,'' katanya. Batuk adalah satu refleksi sihat yang membantu mengeluarkan lendiran dari saluran pernafasan.

Ia dapat menghindarkan jangkitan kuman kepada tekak dan paru-paru. Pada masa yang sama, batuk juga merupakan refleksi pertahanan tubuh manusia apabila berlaku ketidakseimbangan sistem badan.

Misalnya, saat kita tersedak akibat makanan atau minuman yang tersasar ke saluran pernafasan, batuk akan mengusir keluar benda asing itu. Ibu bapa dinasihatkan membawa kanak-kanak berjumpa doktor apabila batuk berlanjutan melebihi enam minggu, atau lebih awal.

Masalah ini, perlu dipandang serius jika pesakit mengalami demam kuat, sukar bernafas dan warna kahak berubah menjadi kuning atau hijau. Kanak-kanak juga, katanya, akan dibekalkan dengan antibiotik sekiranya mereka didapati mendapat jangkitan kuman bakteria bagi mengurangkan keterukan jangkitan.

Masalahnya, boleh dikatakan sebanyak 85 peratus pesakit yang diberikan antibiotik tidak menghabiskannya sebagaimana diarahkan. ``Jika demikian halnya, penyakit akan berulang kembali dan akhirnya tidak semua bakteria yang berjaya dihapuskan,'' katanya.

Sebahagian bakteria yang tinggal juga akan menjadi bertambah kuat seterusnya menyukarkan jangkitan diubati. Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak berkongsi ubat sesama ahli keluarga kerana antibiotik yang berbeza mempunyai peranan berlainan merawat jangkitan.

Pengambilan juga mestilah pada masa yang sama setiap hari, tambahnya.

JENIS-JENIS BATUK

 

- Batuk seperti anjing menyalak

Batuk ini biasanya disebabkan oleh jangkitan yang menyebabkan radang atau inflamasi di bahagian kerongkong, trakea (batang tenggorok) dan bronkus. Penyakit ini juga dikenali sebagai krup.

Batuk ini juga boleh disebabkan oleh penyakit alahan, perubahan cuaca pada waktu malam atau jangkitan virus pada bahagian atas saluran pernafasan. Biasanya berlaku pada kanak-kanak berusia kurang tiga tahun.

- Batuk kokol (pertusis)

Batuk kokol berpunca dari bakteria Bordetella Pertusis yang menyamai gejala demam selesema.

Bunyi whoop yang kedengaran apabila kanak-kanak cuba menarik nafas yang dalam setelah batuk dengan kuat, beberapa kali dalam jangka masa yang lama dan berterusan, merupakan gejala khas batuk ini.

Bagaimanapun, kesan bunyi itu tidak kedengaran pada kanak-kanak yang berumur kurang setahun. Selepas satu hingga dua minggu, kanak-kanak akan mula batuk berpanjangan, mungkin lebih dari seminit dan di antara batuk tersebut, kanak-kanak akan menjadi tercungap-cungap dan mengalami sesak nafas.

Batuk berpanjangan yang teruk boleh menyebabkan kanak-kanak muntah dan wajah bertukar kebiru-biruan. Jika ia berlaku pada bayi, ada kemungkinan mereka akan berhenti bernafas selama beberapa saat dan batuk boleh berterusan untuk beberapa minggu.

Sebanyak 20 peratus dari batuk kokol pada kanak-kanak berumur kurang setahun mempunyai peluang mendapat radang paru-paru (pneumonia). Batuk kokol juga boleh menyebabkan kematian kepada kanak-kanak yang muda. Cara rawatan sama ada dengan melakukan sedutan lendir, memberi bantuan oksigen dan antibiotik serta pengasingan.

- Batuk berserta bunyi nafas yang berdengkik (wheezing)

Apabila batuk disertakan dengan nafas berdengkik, saluran pernafasan di dalam paru-paru mungkin telah separa tersumbat.

Keadaan ini boleh terjadi disebabkan oleh jangkitan saluran pernafasan seperti bronkiolitis, radang paru-paru, asma atau benda asing yang tersekat dalam saluran pernafasan tanpa disengajakan.

- Stridor

Bunyi suara kasar yang terhasil apabila berlaku pembengkakan di bahagian saluran pernafasan atas atau kerongkong.

Bunyi ini hanya kedengaran ketika kanak-kanak mengambil nafas yang dalam. Jangkitan virus ke atas larinks (organ yang bertanggungjawab menghasilkan bunyi-bunyi vokal), kerongkong, trakea dan bronkus (krup) adalah penyebab stridor yang kerap terjadi di kalangan kanak-kanak.

Ia juga boleh disumbangkan oleh jangkitan yang lebih serius seperti radang epiglotis atau tercekik benda asing. Stridor juga boleh disebabkan oleh saluran pernafasan atas yang sempit secara semula jadi sejak dilahirkan atau keadaan di mana makanan naik semula dari perut ke tenggorok (refluks gastroesophageal).

 

- Batuk bersama selesema

Adalah normal bagi seorang kanak-kanak mendapat sama ada batuk yang basah atau kering ketika mereka mengalami selesema.

Simptom yang awal adalah seperti gatal-gatal di tekak, hidung berair atau tersumbat, bersin, sakit tekak, sakit kepala, demam yang minimum dan sakit-sakit badan. Ia disebabkan oleh serangan virus rinovirus dan koronavirus yang berjangkit terutama pada dua hingga empat hari pertama.

Biasanya berakhir antara satu hingga dua minggu iaitu setelah gejala yang lain hilang. Jika batuk berterusan lebih dari dua minggu, eloklah berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut kerana komplikasi seperti jangkitan sinus, jangkitan telinga tengah dan lain-lain boleh terjadi.

Penyakit ini akan sembuh dengan sendirinya tanpa sebarang rawatan.

 

- Batuk berserta demam yang tinggi

Sekiranya anak anda mengalami batuk, dedar (demam sederhana) dan selesema, kemungkinan dia menghadapi demam selesema biasa.

Jika anak anda kurang bermaya, pernafasan yang cepat, batuk berserta demam yang tinggi, ia mungkin bermaksud anak anda menghidapi radang paru-paru yang mungkin boleh mengancam nyawa mereka terutamanya di peringkat kanak-kanak.

- Bronkiolitis akut

Berpunca dari virus sinsitial pernafasan (RSV) dan menjadi penyebab utama penyakit paru-paru pada kanak-kanak berusia antara satu hingga dua tahun, dengan kadar tertinggi dua hingga tiga bulan.

Ia mudah berjangkit dengan tempoh pengeraman empat hingga enam hari. Gejalanya berbeza mengikut keseriusan penyakit. Jangkitan semula boleh berlaku tetapi kurang teruk berbanding jangkitan terdahulu.

- Krup

Berlaku radang pada saluran pernafasan atas yang lazimnya disebabkan oleh jangkitan virus seperti parainflueza, adenovirus, RSV, influenza dan campak.

Bakteria dan alahan juga boleh menjadi faktor penyebab. Berlaku pada kanak-kanak antara tiga bulan ke lima tahun. Biasanya keadaan ini tidak berbahaya tetapi boleh menjadi lebih teruk dan mengancam nyawa pesakit.

Ciri-ciri penyakit terdiri dari batuk yang kuat dan kadang-kadang disertakan dengan pernafasan yang cepat dan nafas yang berdengkik. Gejala akan menjadi lebih teruk di waktu malam.

- Batuk bersama muntah

Apabila kanak-kanak batuk dengan kuat, refleks gag terangsang dan menyebabkan mereka muntah. Ini tidak membimbangkan kecuali muntah itu berterusan.

Sekiranya kanak-kanak mengalami batuk selesema atau serangan asma, kanak-kanak akan memuntahkan lendir yang banyak.

- Batuk yang mengganggu

Keadaan ini berlaku apabila gejala selesema telah pulih tetapi pesakit masih mengalami batuk yang mengganggu tidur ataupun aktiviti harian.

Sumber Dari www.bharian.com.my





E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2014. Semua hak terpelihara.